MINGGU lalu, saya mengetuai rombongan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia ke Pondok Moden Gontor (PMG) di Ponrorogo, Jawa Timur.

Kami cukup teruja dan kagum melihat kehebatan dan kemajuan pesantren berusia 88 tahun ini. Kami dapat melihat bagaimana pondok ini bertahan malah berkembang menjadi pesantren terbesar di Indonesia, dengan 20 cawangan dan lebih 20,000 pelajar.

Kemuncak pembangunan pesantren ini ialah menjadi Universiti Darussalam dengan 14 fakulti pada 2015 nanti.

Menurut pemimpinnya, Ustaz KH Dr Amal Fathullah Zarkasyi (bapanya ialah Imam Zarkasyi, salah seorang pengasas dan Rektor PMG sehingga meninggal pada 1985), kunci kekuatan dan kelestarian pesantren ini ialah pegangan kepada lima prinsip Panca Jiwa, yakni keikhlasan, kesederhanaan, kemandirian, ukhuwah Islamiah dan kebebasan.

Secara ringkasnya, semua pemimpin dan guru berkhidmat secara ikhlas, hidup bersederhana dan mengabdi diri kepada Islam.

Guru menyimpan hanya 20 peratus gaji mereka; baki 80 peratus diwakafkan. Keperluan harian mereka dijaga oleh pesantren. Pengasas pesantren mewakafkan segala-galanya, bermakna mereka, keluarga dan waris tidak memiliki apa-apa.
PMG milik semua umat Islam.

Pentadbiran dan dana PMG diurus sebuah badan bebas, yang turut mengelolakan perniagaan (farmasi, kantin, kedai buku, koperasi, bengkel minyak, kilang ais), pertanian (padi, buah-buahan), perkebunan (halia, kopi, cengkih, pisang), penternakan, pertukangan dan perkhidmatan (hospital, percetakan).

“Inilah rahsia pengembangan Gontor,” kata Dr Amal, yang memperoleh PhDnya dari Universiti Malaya pada 2005. Dr Amal dan saya adalah alumni Universiti Cairo di Mesir: Beliau mendapat ijazah sarjana pada 1987 manakala saya peroleh ijazah doktor falsafah pada 1997.

Menurutnya, di peringkat awal, ramai ulama pondok tradisional menentang usaha pengasas pesantren ini menggabungkan pengajian agama (fiqh, akidah, hadis, usul fiqh, tarbiyah, usuluddin, syariah, al-Quran, tafsir, tajwid, hafalan, seni bacaan) dengan pengajian umum (matematik, algebra, sejarah, psikologi, geografi, biologi, tatanegara), kokurikulum (komputer, pidato, sukan, khat, silat, drum band) serta memperkenalkan pembaharuan, termasuk mengguna kerusi meja, papan tulis dan pakaian kemas.

Turut ditekankan ialah penguasaan bahasa Inggeris dan Arab, serta disiplin yang ketat. Pelajar tidur hanya 3-4 jam sehari, bangun seawal 3.30 pagi setiap pagi.

“Yang dimodenkan ialah sistem dan cara mengajar agar lebih cekap, cepat dan berkesan, manakala roh dan semangat pondok tetap dipertahan.

Puluhan tahun kami ditentang, tapi akhirnya terbukti pendekatan ini berjaya manakala banyak pondok tradisional di Indonesia semakin mengecil, kurang pelajar atau ditutup,” jelas Dr Amal.

Katanya, mutu pendidikan PMG kini diiktiraf banyak universiti di dunia, termasuk Universiti Al-Azhar (Mesir), Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti  Islam Antarbangsa Malaysia, Universiti Selangor dan Kolej Universiti Islam Selangor. 

Matlamat PMG ialah melahirkan individu berilmu dan hebat untuk berkhidmat kepada masyarakat. Alumni PMG yang begitu ramai kini menjadi pemimpin seluruh Indonesia, guru dan pendakwah. Antara mereka ialah anak Hamka bernama Afif dan Nurcholis Majid tokoh pembaharu pemikiran yang fasih bahasa Inggeris dan Perancis.

Seorang pelajar yang ditugas mengurus rombongan, Ustaz Ahmad Zaki, memiliki perwatakan yang matang dan cukup berketerampilan bagi seorang berumur 21 tahun.

Bila ditanya cita-citanya, beliau menjawab; “Mahu jadi orang besar.” Dengan cepat, beliau menjelaskan: “Orang besar bukan dari segi jawatan, pangkat kedudukan atau kekayaan. Saya mahu jadi orang besar dalam keupayaan berkhidmat dengan ikhlas kepada masyarakat.”

Kami juga sempat  berbual dengan 20 anak-anak Malaysia, berusia antara 12 dan 20 tahun, yang sedang belajar di PMG. Insya-ALLAH, mereka akan tamat pengajian dan kita doakan bakal menjadi ‘orang besar’ bila pulang ke tanah air nanti.

PMG jelas berciri unik yang membezakannya dengan pesantren lain di Indonesia dan pondok di Malaysia. Inilah yang menjadikannya dinamis, relevan dan berkembang.

Harapan pimpinan PMG ialah melahirkan seribu pesantren seumpamanya di seluruh republik itu, juga di Malaysia dan Thailand. Insya-Allah, Dr Amal akan berkongsi pengetahuan, pengalaman dan wawasannya sebagai ahli panel jemputan di Ijtimak Pondok-Pondok Malaysia di Alor Setar pada 23-24 April depan.